9 Nov 2013

//19.Perahu,ms

Dakwat hitam,
kekal namamu,
di lengan kiri,
//19.Perahu,ms.


Fatahul Nizam
9 XI 2013
Padang Nenas

3 Nov 2013

Di Suatu Malam

Aku teringat di suatu malam
selepas suria terbenam di bening barat,
engkau berkata sesuatu
tentang ombak di bulan April.
Belum sempat kau sapu derita di pipi,
parut itu terkoyak semula kerana bicara.
Betapa paluan ombak itu bukan kegemaranmu,
namun ia asyik basah di bibir.
Di bawah lilipan bintang samar, katamu:
"Hempas ombak tenggelamkan impianku."
Dan perlahan-lahan air matamu melahap
lalu membeku di atas tanganku.
Seperti mana impimu didakap laut,
begitulah tubuhmu dalam tanganku.



Fatahul Nizam
3 XI 2013
Bilik

27 Oct 2013

Matinya Seorang Pembaca Puisi

Seingatku, puisi terakhir dalam genggamannya
adalah milik Amir atau mungkin Ananta.
Waktu hidup dulu menelaah puisi,
tak pernah terduli nyawanya sendiri.
Bila diajak berbicara hal ilmu,
seratus puisi pun, terbelit lidah dia terbisu.
Entah ke mana bait puitis itu membawa,
tak kata ke syurga, tak juga neraka.
Menghadam Kipling setiap hari,
dengki berdaki masih di hati.
Atas kamarnya bergelendang buku,
masuk ke hati tiada pun satu.
Bongkak dan angkuh membaca Shamsir,
bila mati mulutnya hanyir.
Kini mati si penyangak puisi,
pembaca dakwat tidak berisi.



Fatahul Nizam
27 X 2013
Padang Nenas

24 Oct 2013

Selimut

Jika gelap itu seperti cahaya, kilau dan indah, mana mungkin aku keluar dari selimut. Diratah puji dan angkuh sementara, itulah apa yang selimut ini lindungkan. Jika gelap itu seperti cahaya yang auranya mega dan tenang, mana mungkin aku keluar dari selimut. Menyebar cerita tentang lemahnya diri, lalu reput dipijak insani. Jika gelap itu seperti cahaya, gagah berhias, mana mungkin aku bakar selimut ini. Kerana aku di luar ini, bisu, lesu, beku dan kaku. Jika gelap itu seperti cahaya..

...apakah ada lagi selimut kedua? Kerana kulit ini sudah terkoyak disiat cahaya - dusta dan sementara.



Fatahul Nizam
Padang Nenas
24 X 2013

5 Sept 2013

Hiatus

Pada hari dia mati, dedaun kering yang gugur ke tanah seperti hari-hari lain, tiada. Hanya bunyi rintik hujan menjadi peneman di bawah tanah. Betapa bunyi itu sungguh cantik dan menakutkan pada waktu yang sama. Teman-teman bicaranya menangis. Ada di antara mereka terdiam, ada yang melutut, ada yang gugur pengsan ke tanah. Gerimis yang turun dengan perlahan itu, wanginya saduran lavender dan kasturi. Harum itu bergema ke seluruh tanah perkuburan.

Suara-suara yang pernah memanggil namanya kedengaran dari jauh. Dari memori yang terbentang kemas, jatuh bangunnya, gagah lemahnya, tumbuh patahnya dan tidur bangkitnya, setiap fragmen kenangan itu bermain ibarat cakera padat yang dipenuhi filem-filem agung dan dimampat dalam durasi satu saat di minda setiap jiwa yang menangis itu.

Sudah tiba masanya untuk dikenang. Dan dia kini sudah tidur dengan nyenyak diselimuti air mata teman-temannya. Tidak seperti kala hidupnya. Saat dia menghilang, tiada siapa peduli. Namun hari ini, hilangnya dia untuk selamanya, tidak dia mampu mengawal beritanya. Tidurlah dia dengan nyenyak.



Fatahul Nizam
5 IX 2013
Bilik

Rubi

Puisi ini kutuju pada sang permata.
Permata baiduri dari kejauhan.
Baiduri nan bercahaya rubi yang
letaknya di wajah manismu.
Kornea berona Nebula
Suara berima seruling.
Senyummu adalah byzantium
sewarna rambutmu burgundy.
Bermimpikan Toulouse di angan kita
Realitinya jiwa dua sang seksa.
Halus budimu hiasan bidadari
Apalah aku pemegang panji Azazil.
Jika ada nur yang memimpinmu,
bukan aku adalah sesuatu.
Namun melihatmu didakap sayap putih,
gembira aku sambil mematah kepak hitamku.



Fatahul Nizam
Bilik 
3 IX 2013

2 Sept 2013

Perempuanku

Di bawah purnama kita berjanji
Bercerita halnya perasaan dan hati.
Mendaki sang bukit menawan memori
Hingga kita leka diapungkan mimpi.

Takkan aku jatuhkan air mata ini
Kerana lebatnya aku pendam di hati
Dan tawa dari bibirku, adalah tawamu.
Lalu lena ini, adalah mimpi mimpimu.

Tabahlah mawarku
Tertawalah baiduriku
Tidurlah merpatiku
Bermimpilah penyairku.

   Suara tercipta, dalam indah dalam memori semalam.
   Dan sadisnya hati kita, terpisah diputus impian.



Fatahul Nizam
2 IX 2013
Bilik

25 Aug 2013

Malam Bermotifkan Topaz

Akan tiba suatu masa, di sisi meja, di tepi pantai, dihiasi deru ombak gemersik di balik rona malam bermotifkan topaz, kita bicara hal perasaan. Berdua kita di atas Chuck Taylor, bersama mocha atau teh panas dalam genggaman, merancakkan nafas perbualan kita tentang hati yang sama. Apakah perbualan itu pantas berlansung tanpa persepsi? Atau paling mudah pun, malam itu berlalu dengan sendirinya? Tentang kamu dan cinta di balik tirai silammu, dan aku yang terperangkap dalam emosiku buatmu. Deru ombak terus menderas, bayu meniup terus menyentuh pipi kita, dan hal perasaan itu masih belum didalami. Kita terapung di luar laut, bukan di udara, namun di tengah kewarasan kita yang gravitinya adalah emosi - tiada. Perlahan-lahan, kelopak mata senja pagi mula terbuka - yang mana malam itu berlalu dengan sendirinya. Dan saat mentari itu melabuhkan cahayanya di sisiku, aku sedar bahawa kau tiada. Deru ombak, malam topaz, Chuck Taylor, mocha dan teh, semuanya sama. Hingga aku terjaga, bahawa biar sama latar itu, kita bukan di tempat yang sama.

Betapa kau terus terselindung di balik tirai silammu dan aku terperangkap dalam emosiku buatmu.


Fatahul Nizam
25 VIII 2013
Bilik

Sang Bunga Berona Biru

Sang bunga berona biru.
Pegun kamu di kejauhan
mengibarkan aroma syahdu.
Cantik mekar tiada terlawan.

Namun tumbuhmu parasit
laksana ijajil di hati duniawan.
Celah kegelapanku kau terhimpit
hingga meronta segala perasaan.

Berpuisi tentang kumbang
namun tak sedar wujudku.
Bersuara pungguk pada rembulan
tetap menafi alunan syairku.

Bersama cantik kelopak bungamu,
parasitmu menawan anganku.
Kekal aku sebagai perumahmu,
lalu mati dirobek sengsaraku.



Fatahul Nizam
25 VIII 2013
Bilik

23 Aug 2013

Sepuntung Rokok Di Dalam Secawan Kopi

Sepuntung rokok di dalam secawan kopi.
Terapung di tengah dunia, beku dan silu.
Serupa mayat terkaku diumbang air,
terlarut ia dalam hitam nan bungkam.
Asap diam perlahan pergi,
lalu abu dan serbuk bersatu berjanji.
Biar rekah cawan sempurna,
jangan dinilai pada hinanya.
Tiada yang duli punca di mana,
sedang keduanya terluka hiba.
Betapa dalam ribuan saat yang legar,
kau temui mereka pada suatu detik yang janggal.



Fatahul Nizam
23 VIII 2013
Bilik

22 Aug 2013

Kuntuman Lesu

Tabur bunga rindu dan siram segala luka di jiwa.
Biar ia bercambah lalu kuntumnya dibiar lesu.
Mekar bersama wanginya mawar,
biar terubat segala resah gelisah di jiwa si manusia.
Kerana gelora kelopaknya membaukan rindu,
membingkis luka yang pernah disemai.
Dan kelopak mawar masih tetap mekar
mengembangkan rasa yang dalamnya dibuai
haruman cinta si anak dara.

Betapa dengan sekuntum mawar yang durinya masih tercalit luka, 
dia percaya iakan dipetik tangan nan suci.


Mashu / Fatah
Twitter
22 VIII 2013

The Girl Who Was Possessed by Arts

Her fingers were so soft.
Her words were legit and
surreal. Her smile on the
canvas was lively that
flowers are fake and
scentless. Every night, she drew 
a portrait of him. Until the colours
turned grey. Like the doomed
sky intertwined with the
black moon, her overcast heart
told me everything
-that love is just a man who
enslaves the truth for a
fragile woman.
And the love from that man
is what encircles her tenderly
drowning her into an 
intangible mess of emotions
dipped in the hues of paints
dragging her down below into the pit of her own disaster.
I saw how
her deep brown eyes looked further into the distance
as her white t-shirt is smeared in multiple spectrum of colours
paintbrushes scattered around the personal studio
and in front, yet another masterpiece created from a personal
image of her mind of him
i realized how maybe
in art, she wished, 

he'd come back again by her side.


Fatahul Nizam / Fatihah Ashhadi
Facebook
24 VI 2013

*the first duet

15 Aug 2013

Sebelum Sempat

Akan tiba suatu masa
kau jatuh pada seorang gadis

Yang bunga tersemat di rambutnya,
bersama mata bagaikan topaz,
dan senyum bercorak tulip.

Tiada mampu kau merangkupnya,
jauh sekali mendekatinya.

Dan saat kau melewati hatinya,
dia berlalu seperti jiwa tidak bernyawa.

Diam-diam, dia meranah geloramu,
tanpa perlu menghembuskan nafas diwajahmu.

Lalu cahaya dari matamu terus malap,
tanpa perlu matamu ditatap.

Hinggalah bunga di rambutnya itu
menguntum pada seorang lelaki
yang sudah tentu dan kau juga tahu,
bukan untuk dirimu yang separuh mati.

Seluruh sisa hidupmu, kau terus berpuisi.
Merenung malam kosong lalu rebah ke bumi,
demi seorang gadis yang tidak kau kenali.

Dan kau lafazkan selamat tinggal
sebelum sempat berkata hai.


Fatahul Nizam
15 VIII 2013
Bilik

*terilham dari sebuah sajak milik seorang 'hue'.

11 Aug 2013

Gadis Muda II

Menekup mulut dan bersuara bisu.
Udara bersiulan lagu keroncong.
Di tangannya tergenggam puisi senja.
Merenung ombak bercorak van Gogh.
Perlahan-lahan bibirnya menggerayu
di balik selendang berona jingga.
Membaca kalimah pesanan ayah
"jangan ternoda atau terluka
dengan nafsu putera Aphrodite."
Seperti senyuman Vigée-Lebrun,
dan seputih potret Madame Henriot,
serta alis mata nona Hepburn,
dia menyentuh pipi berlesung pipit
lalu tersenyum di atas bangku
menyapa hatinya yang tiada gelora.



Fatahul Nizam
11 VIII 2013
Bilik

1 Aug 2013

Gelora

Detik perlahan yang mulai laju,
menghunus aku di muka ombak.
Mendengar ngauman gelora bayu,
seraya nafas pedih tersentak.



Fatahul Nizam
1 VIII 2013
Bilik


*puisi kilat sebelum tidur.

20 Jul 2013

Andro

Suara kita sama serak.
Lebat roma jangan dikira.
Hati orang berani digertak.
Mana nak duli pada dunia.

Itulah kita dalam sebahagian.
Lagak jantan habis ditayang.
Kasar bahasa kononnya tuan.
Sekali jatuh maki sedulang.

"Hai lelaki semuanya sama,"
Kata gadis menahan sebak.
Maafkan kami semakin durjana.
(Sesungguhnya) Beribu suci lebihnya rosak.

Malu aku seribu malu.
Menjaga maruah kita senama.
Mana nak sama puisi nan satu,
dengan deras gadis terluka.



Fatahul Nizam
17 VII 2013
Bilik

13 Jun 2013

Terbahagi

Tenggelam dalam puisi ini sebagai aku
agar kau tahu hitam dan putihku lebih
jelas dari dosa-dosamu.

Tubuh yang terikat dengan rantai besi
memaksa aku untuk berdiam. Diam dalam
kesedihan yang tak terbayar kerana
menanggung ego dan angkuhmu.
Benci aku tiada sebab biarpun
dibakar seluruh jasadku dengan tanganmu.
Atau langkah kakimu yang berlalu
pergi tanpa pernah berpaling walau
sekali. Dan pekak telingamu sehingga
aku bisu menjerit namamu. Parut
pada lengan, mengingkatkan aku
harus bernyawa. Namun kelibatmu
menyuruh aku pergi selamanya.
Aku jerit dan amuk kerana aku
menyendiri. Dan terus menjerit
biar disapa suaramu. Kerana aku
terkurung dalam jeriji besi.
Yang dibina megah oleh
palsumu.


Fatahul Nizam
13 VI 2013
Blok C

12 Jun 2013

Beku

Inilah pagi tergelap yang mengejutku.
Tidak mendung, jauh lagi lebat hujan.

Tiada bunyi mengkhabarkan suram.
Hanya tangisan di bilik sebelah.

Lelaki yang sama mengesak-esak.
Mencabar gagak menguatkan kuak.

Udara beku melanggar tubuhku.
Tiada tanda gerimis dan ribut.

Nafasku semakin nipis mengenangkanmu.
Adakah si baju hitam sudah bertandang?

Kerana lelaki yang tangis itu mengejutkannya?
Dan angkanya sudah mulai terhenti?

Oh ya memang dia yang dicari.
Tapi, bukankah kami insan yang sama?


Fatahul Nizam
12 VI 2013
Blok C

Darah Mengalir Laju

Darah mengalir laju
membawa dendam yang membara.
Sakit.
Kakiku lenguh di hujung tebing,
menanti patah jatuh ke bawah.
Darah mengalir laju
membawa khabar derita.
Seksa.
Retak lutut makin memaksa.
Resah aku semakin resah.
Darah mengalir laju
Tidak membawa apa-apa.
Mataku mulai rapat
serapat hati yang termampat.

Ambil aku dalam diam.
Mati aku seorang diri.
Darah mengalir membawa dendam.
Jangan siapa ambil peduli.



Fatahul Nizam
11 VI 2013
Blok C

30 Mar 2013

Dekat

Larian yang kian perlahan
darah yang mengalir deras
peluh yang mulai kering,
dan air mata yang melebat.

Aku masih diam dan sunyi.
Berdiri seorang diri.
Dan sejauh mana kaki ini pergi,
pisau itu masih dipeluk jemari.



30 III 2013
Fatahul Nizam
Blok C

*selamat hari kejadian, fatahul nizam.
jangan berhenti berpuisi.

24 Mar 2013

Larut

I

Kupu-kupu itu melulu berlalu sebelum hanyut ditiup bayu.
Bayu keras yang megah menyantas segala yang bernyawa.
Dan dalam tubuh bayu yang menembusi itu, dia berpuisi.
Suaranya perlahan diiring nyanyian si gadis desa.
Bersama mereka bercerita hal-hal lara yang melanda.
Lalu kedua mereka larut dalam paluan rindu sementara.

II

Alunan syair terus bergema.
Hingga esak suara sesak terasa.
Dikucupnya nisan si gadis nesa.
Menadahkan salam terkahir kalinya.



Fatahul Nizam
Blok C
24 III 2013

21 Mar 2013

An Ode To A Sombre Man

He lies.

He lies with his smile like those gloomy days
when he fell from the sky and begged for grace.
'May God bless my soul', even it was useless.

When Night stabbed him and Days tortured him,
Or love and hell never heard of his sins.
He wailed and smiled, he always did.

He swore he would never die in vain,
until he realized that he was in pain.
And he stopped and stood in the rain.

Waited for a bouquet of roses and poems.



Fatahul Nizam
21 III 2013
Block C

13 Mar 2013

Alif dan Tiga Rakannya

Di sebuah pekan yang telahpun lenyap dari bibir-bibir manusia, tinggal seorang pemuda yang hidupnya dikelilingi teman-teman rapat. Kerjanya dihabiskan dengan membuat minyak wangi di kedai di belakang rumahnya. Segala unsur kimia untuk membikin sebotol pewangi wujud di situ. Dan minyak wangi yang terjual sudah sekianlah memberi ketenangan padanya. Moleknya dia sama seperti bau-bauan itu. Murni, suci, tenang dan disenangi orang. Namanya, Alif.

Tinggal Alif di dalam pekan itu bersahabat dengan tiga lagi orang. Hamid si kaki judi, Farhan si kaki perempuan, dan Rudi si kaki botol. Andai tertanya apakah yang membawa kepada rapatnya Alif dengan tiga kaki itu, jawapannya mudah, kerana kawan itu tidak pernah mengenal jahat, buruk dan hina seseorang. Alif percaya, seperti mana aroma yang sudi disapukan pada mana-mana tubuh, jiwanya juga tidak pernah mengira orang.

Persahabatan ini bermula semenjak sekolah. Di zaman muda mereka, selalulah jua mereka berkongsi cerita bersama-sama. Namun, ada beberapa kala, Alif ini lihatnya seolah-olah lemah. Selalu dibebel oleh tiga kaki itu. Terdapat juga waktu di mana Alif ini dibenci oleh Hamid, Farhan dan Rudi kerana rajinnya. Termasuk juga Alif yang seperti manusia biasa, lewat muncul di kelas, pernah dipulau dengan kuatnya oleh ketiga-tiga sahabatnya. Namun Alif tidak pernah berkecil hati.

Sedangkan, tatkala Hamid si kaki judi gembar berkata megah, Alif mengiakan menandakan di tahu itulah yang menggembirakan Hamid. Tatkala Farhan si kaki perempuan bermain mata dengan jalang jalanan tanpa menghormati keberadaan Alif, dia tenang dan percaya yang Farhan sedang gembira. Tatkala juga saat Rudi si kaki botol yang otaknya beku dan selalu benar mengikut tunjuk Hamid dan Farhan, tidak pernah sama sekali Alif mempersoalkannya kerana dia, seperti mana terhadap dua lagi kawannya, percaya itulah yang menggembirakan Rudi.

Dan Alif, tidak pernah mengungkit sikap rakan-rakannya. Kerana dia sebagai penjual minyak wangi, harus terikat dengan apa yang dia jual. Dan itulah apa yang membentuk dirinya. Pada saat Hamid, Farhan dan Rudi dalam kejatuhan, selalu benar Alif ini muncul. Tidak pula meminta balasan dan ganjaran, sebaliknya dilayan pula dengan dengki dan ego yang tak bersebab.

Satu hari, Alif jatuh nazak kerana mendapat barah. Tiga-tiga rakan tiada datang pada hari-hari akhirnya. Kerana mereka tidak pernah peduli akibat daripada keseronokkan mereka dalam dunia masing-masing. Pernah juga mereka berpakat untuk terus memulau Alif yang semakin kaya. Hinggalah pada nafas terakhir Alif, sebelum menghembuskan kalimah keesaan Tuhan dan kedudukan Nabi Muhammad, dia memaafkan rakan-rakannya. Turut juga dia meminta bantuan agar orang yang hadir pada hari terakhirnya untuk memberitahu ketiga-tiga sahabat itu yang dia ingin memohon maaf. Murni hatinya saat dia memaafkan kesalahan orang, lagi pula meminta ampun. Maka, matilah si penjual minyak wangi itu dengan tenang.

Dan pada waktu yang sama, Hamid, Farhan dan Rudi sedang mencerca si Alif hingga kering air liur mereka.



*jangan sampai orang lain yang mengaku salah kita.



Fatahul Nizam
13 III 2013
Blok C

11 Mar 2013

The Night I Observed The Sky

It was dark again that night.
And the feeling never seemed so right.
So I took a walk to lose the tight
Of the agony that I couldn’t fight.  

I embraced the dark and let it flow
until the fear and the pain started to grow.
It was so real this so called sorrow
That I was dying in my own beloved ego.  

I believed the dark was too generous.
It told me the light was in hideous.
I knew it was surely obvious.
And it was suddenly killed by the lightness.  

So, why I always praise the darkness?
As well I approve its existence?
On the night I observed the sky of hopeless
The stars were blinking at me from above.  

For the shadow I dedicate this ballad.
For the light I conquer my own absurd.
As long as the stars illuminate the dark.
 Never stop this life to believe in luck.



Fatahul Nizam
15 X 2012
Blok C

6 Mar 2013

Baiti

Ku dengar bunyi ribut bersahutan.
Dan guruh yang berejeritan.
Menyemarakkan sejuk di temulang.
Menahan pedih yang dipendam kelat.
Dan ku patahkan ranting
di atas pasir halus yang ditup angin,
ku tulis namamu, Baiti.

Bersama angin yang membawa tulisanku,
dan pudarnya namamu disapu bayu,
turut aku
hanyut dalam rindu.

Air mula membeku di dalam gelas.
Ku tenung ia menantikan balas.
Dan renungan itu terlalu leka
sambil membuai wajah putihmu
yang bercahaya ditenggelami
suara lunakmu berpuisi.

Di tepi pantai ini aku merenung kosong,
ke arah lautan yang mula mendayung,
lalu rindu ini terpesong
hingga menerkam jantung.

Jangan berhenti berpuisi.
Biarkan aku tidur di atas namamu.
Hingga mataku tertutup rapat
lalu hancur segala kudrat
untuk menyarungkan cincin di jarimu.
Kerana menakluk dunia dengan mulut yang tertutup,
adalah perkara yang sama.




Fatahul Nizam
6 III 2013
Blok C

28 Feb 2013

Aku

Demi sesuatu yang kuharap tiada,
seorang diri kupadam bara.
Menentang cahaya sirna menyala,
Memijak bianglala di balik teja.

Mega samudera tinggi lambungnya,
memuncak lanting bumbung Himalaya,
Mencabar aku menumbangkan semua,
jangan disoal, hai kurap durjana.

Tiada aku dalam kita.
Tiada kamu dalam cerita.
Ceritaku yang dikuasai nista,
hingga kebalku tidak dibicara.

Buasnya aku buasnya suara.
Kulaung puisi di setiap senja.
Biarku sedar pedihku berganda,
ini aku yang terus berdusta.



Fatahul Nizam
28 II 2013
Blok C

26 Feb 2013

Dosa Langit

Suci melor
dipetik orang.
Irama keroncong
dibiar sumbang.
Dengki mentari
membakar kesumat.
Dosa langit
kerap ditatap.



Fatahul Nizam
26 II 2013
Blok C.

19 Feb 2013

Tiada Siapa Sedar Saatku Pergi

Tercelah antara langit dan bumi.
Dan hujan renyai sebak berpuisi.
Aku mendengar mersiknya talkin,
dan sebak suara diusung angin.

Lansung mereka berlalu tertawa.
Sedang aku matinya lena.
Moga ada rindu dan doa.
Walau lunyai jasad diseksa.


Fatahul Nizam
19 II 2013
Blok C


*spontan dikarang kala mendengar suara Tom Waits.

18 Feb 2013

(Petikan) Syair Siti Zubaidah Perang China

"Darah mengalir seperti lautan,
debu pun hilang baru kelihatan,
rakyat berperang seperti syaitan,
tetak menetak berlompat-lompatan."

"Terlalu ramai orang berperang,
seperti tidak membilang orang,
hambat menghambat, parang memarang,
memalukan cokmar pahlawan yang garang."


Tiada Penulis,
Syair Siti Zubaidah Perang China,
1983.

*Dipetik daripada Dewan Sastera
Januari 2013.

17 Feb 2013

Suara Baru


Mendayu-dayu lipur laramu.
Hingga dunia ini menyebut namamu.
Membenarkan segala tipu
melalui suara-suara palsu.
Mengapa perlu ada pilu
sedangkan tawa bukan satu.
Adakah kami ni terus layu
di bawah ranting tuamu?

Kita bukan suara lama
yang berbisik semula.
Tidak perlu seindah bahasa.
Kuat suara kuatlah kita.
Akal yang ada hiasan sementara.
Kerana, ingin aku khabarkan semula,
kuat suara kuatlah kita.
Kuat suara kuatlah KITA!


Fatahul Nizam
Blok C
17 II 2013

12 Feb 2013

Romantik (VIII)

Tubuhnya berpelukan mendengar cerita.
Yang terbisik dari tutur halus.
Sinikal ternada di balik suara.
Kerana ia tentang hati yang tulus.

Perlip dia pada budi biduan,
mengarang syair sayangnya mengalir.
Biar hatinya tidak terlawan,
nasib diusir kama yang hadir.

Tahulah dia susahnya cinta.
Sekali dijual rindu yang mulus.
Kerana akal tidak berbicara,
dipetik gambus talinya putus.

Lukalah dia dilecut rawan.
Berpeluk tubuh di balik langsir.
Mengalun bisik separuh sawan,
tentang hatinya pilu disindir.


Fatahul Nizam
12 II 2013


*mulai Romantik VIII, ia ditulis kepada 'orang baru'.

6 Feb 2013

Misogini

Kering lidah bercerita kisah kita.
Rapat mataku membayang hal lalu.
Lalu acuhku usah dibeza.
Tiada serendah pedulimu padaku.

Tentang rahsia dan hakikat
kita bertengkar dalam diam.
Menahan sebak yang memekat,
hingga darah dan air mata menghitam.

Cukuplah menghias delima di tiara.
Lantaran deras benciku mengalir deras.
Tidak disebut duka sesamudera,
pasti ombaknya memukul keras.

Di lembah kesumat ku dibalun khianat,
membesarnya aku berselimut celaka,
Dendam ini tiada penat,
Moga hancurmu tiada putusnya.



Fatahul Nizam
6 II 2013
Bilik

8 Jan 2013

Di Bahu Jalan

Tertawa mereka tangis berpisah.
Dendang irama gembira dan duka.
Ada tertunduk menahan pasrah.
Tidak dilupa pelukan mesra.

Andai dalam kabur itu adanya cerah,
akulah itu di celah mereka.
Andai terbit di hatimu itu gundah,
setia aku berdiri di sana.

Di bahu jalan kusaksikan dunia
Menanti masa untuk melintas.
Biar senyap bibir manusia,
setiap syahdumu sedia kubalas.

Dan biarpun kau dihenyak seksa,
atau dibalun dipukul pilu,
Aku masih di bahu jalan yang sama.
Calitkan saja sakitmu di tubuhku.

Jelas dapat ku dengari
Tawa dan tangis di sekitar ayumu.

Dan kau, dengar?

Waktu kita tertembung saat melintas,
Ku pejamkan mata meneliti langkahmu.
Deras degup jantungmu guruh tertewas,
Terseksa air mata ku tahan lalu tepu.

Dan masih kerana engkau, hai dewi,
bersama gugup, gelentar dan peluhmu,
membuatkan aku benar memahami,
hari ini adalah biasa bagiku.



Fatahul Nizam
8 I 2013
Pustaka