20 Jun 2014

Indigo

Tak lagi aku bernafas dengan indigomu,
dengan senyummu, juga sempurnamu.
Aku debu hitam hina nista.
dibuang itulah layaknya.

Maafkan aku, lapis lazuli.
Calarmu dunia meratapi.
Sendiri aku biar sendiri.
Mati tak pernah minta diduli.



Fatahul Nizam
20 VI 2014
Bilik

16 Jun 2014

Ransid

Barangkali aku terlalu berharap
yang kau adalah jaketku di musim dingin,
atau payung hitam cuaca November,
juga latte yang panasnya menenang,
atau Adagio dan Sonata beremosi melankoli.
Dan harapan itu tetap harapan,
dan kau sendiri, berpesan dengan suara halusmu,
"Jangan berharap atau kau akan sakit."
tapi degilku terus menghirupmu
kerana cukuplah untuk sejengkal harapan ini,
ia menenangkan aku dalam resah yang bergelora.
Hinggalah di suatu petang,
kebenaran itu menghempas -
kau adalah pisau yang kuasah,
dan api yang kumarak.
Maka, garis garis di lengan kanan ini
adalah penghormatan buatmu.
dan darah yang memancut keluar,
adalah pengorbanan buatmu.
Mereka khabar "cinta sebenar
adalah cinta yang tak terbalas."
Dan ku tambah, "hingga sakit
itu dijelma dengan pisau dan api."
Kerana masa berlalu menjadi April yang panas.
dingin yang membeku menjadi kemarau yang membuak.
Begitu juga kau yang aku kira,
bukan lagi sesuatu.


Fatahul Nizam
16 VI 2014
Bilik