23 Nov 2011

Romantik (I)

Ku buka sajak indah ini dengan kuntuman lafaz Allah.

Merdu suara menyebut namamu menjadi lagu terindah
Mendengar namamu itu - ibarat biola digesek syahdu
Pada seni yang jari si lelaki itu karangkan
adalah percaturan hati dan kesucian
diikat kuat pada Tiang Tunggal.
Dan lelaki itu memandang dirinya pada cermin,
menyumpah hatinya kerana mencintaimu
memaki hatinya kerana menginginkanmu
Rasa salah itu benar baginya
hinggakan tanah ini digadai
pada menteri untuk
sekuntum cinta
abadi.


Fatahul Nizam
23 XI 2011
Tun Perak

#buat Si Bangsawan Tinggi Mulia

21 Nov 2011

Beza

Berbeza itu tetap serupa
pada langit dan awan.
Juga pada lembut laut
dan deras deruan sungai.
Pula malam yang terbakar
itu terhias bintang yang
mekar. Senja yang malu
itu pula pasti senada
dengan fajar yang
meriah di dahi gunung.
Jangan dilupa kicau burung
dan ngauman rimau itu
pernah seirama. Inikan
juga dawai biola dan
dentuman gong yang
rancak bertarikan bunyian
paling syahdu. Tanya pula
dirimu wahai kalian,
apakah yang sama pada
beza kau dan aku.



Fatahul Nizam
21 XI 2011
Tun Perak

*buat 1 Bougainvillea

19 Nov 2011

Tinggal

Dia mula kembali pada biasa
- terbuang, tiada peduli, terpisah.
Bunyi dari senyum itu tak lagi
didengarnya. Hanya tangis
dari lubuk paling dalam di
hati bergema kuat dirasainya.

Pernahkah dia rasa hidupnya
berguna untuk seketika.
Biarpun dicalit dendam lama,
matinya kelak entah tiada guna.

Dia mula kembali pada biasa
- biasa itu perit baginya.
Suara terbising dari mulutnya
adalah diam. Dan caci paling
hina dari mulutnya adalah
ketawa. Maka senyum itu
palsu. Ia palsu. Sehingga
tiada siapa tahu.


Dia tahu, dia patut ucapkannya.
Buat kali pertama dan terakhir.
"Selamat tinggal"



Fatahul Nizam
19 XI 2011
Bilik

10 Nov 2011

Peluru Dari Radikal Aku

Kutulis satu baris ayat pada misil nuklear Iran (jika ada)
"kecelekaan ke atasmu, Israel". Dan dentuman yang
terhempas atas perut Nentahayu, aku hiaskan
kuntuman peluru,
"mati".


Fatahul Nizam
17 XI 2011
Bilik

4 Nov 2011

Rahsia dan Malam

Dalam jatuh gugur helaian daun kuning
di celahan malam sunyi
aku berjalan seorang diri
mendengar dengusan angin yang mengeluh
mendengar riuh ranting yang bercanda
mendengar bunyian kosong dari ceruk yang rawak.

Aku biarkan gerak kaki ku melangkah
melanggar setiap kabus yang menyelindung
biarpun tulang temulang dipeluk beku
aku diamkan sahaja tanpa gigilan.
Tidak ku mahu ini sekadar mimpi.
Biar gelap manapun ia,
aku tahu,
ribuan rahsia yang bising
bisu di belakang tabir malam.



Fatahul Nizam
4 XI 2012
Bilik