Akan tiba suatu masa, di sisi meja, di tepi pantai, dihiasi deru ombak gemersik di balik rona malam bermotifkan topaz, kita bicara hal perasaan. Berdua kita di atas Chuck Taylor, bersama mocha atau teh panas dalam genggaman, merancakkan nafas perbualan kita tentang hati yang sama. Apakah perbualan itu pantas berlansung tanpa persepsi? Atau paling mudah pun, malam itu berlalu dengan sendirinya? Tentang kamu dan cinta di balik tirai silammu, dan aku yang terperangkap dalam emosiku buatmu. Deru ombak terus menderas, bayu meniup terus menyentuh pipi kita, dan hal perasaan itu masih belum didalami. Kita terapung di luar laut, bukan di udara, namun di tengah kewarasan kita yang gravitinya adalah emosi - tiada. Perlahan-lahan, kelopak mata senja pagi mula terbuka - yang mana malam itu berlalu dengan sendirinya. Dan saat mentari itu melabuhkan cahayanya di sisiku, aku sedar bahawa kau tiada. Deru ombak, malam topaz, Chuck Taylor, mocha dan teh, semuanya sama. Hingga aku terjaga, bahawa biar sama latar itu, kita bukan di tempat yang sama.
Betapa kau terus terselindung di balik tirai silammu dan aku terperangkap dalam emosiku buatmu.
Fatahul Nizam
25 VIII 2013
Bilik
Fatahul Nizam
25 VIII 2013
Bilik