Di sebuah pekan yang telahpun lenyap dari bibir-bibir manusia, tinggal seorang pemuda yang hidupnya dikelilingi teman-teman rapat. Kerjanya dihabiskan dengan membuat minyak wangi di kedai di belakang rumahnya. Segala unsur kimia untuk membikin sebotol pewangi wujud di situ. Dan minyak wangi yang terjual sudah sekianlah memberi ketenangan padanya. Moleknya dia sama seperti bau-bauan itu. Murni, suci, tenang dan disenangi orang. Namanya, Alif.
Tinggal Alif di dalam pekan itu bersahabat dengan tiga lagi orang. Hamid si kaki judi, Farhan si kaki perempuan, dan Rudi si kaki botol. Andai tertanya apakah yang membawa kepada rapatnya Alif dengan tiga kaki itu, jawapannya mudah, kerana kawan itu tidak pernah mengenal jahat, buruk dan hina seseorang. Alif percaya, seperti mana aroma yang sudi disapukan pada mana-mana tubuh, jiwanya juga tidak pernah mengira orang.
Persahabatan ini bermula semenjak sekolah. Di zaman muda mereka, selalulah jua mereka berkongsi cerita bersama-sama. Namun, ada beberapa kala, Alif ini lihatnya seolah-olah lemah. Selalu dibebel oleh tiga kaki itu. Terdapat juga waktu di mana Alif ini dibenci oleh Hamid, Farhan dan Rudi kerana rajinnya. Termasuk juga Alif yang seperti manusia biasa, lewat muncul di kelas, pernah dipulau dengan kuatnya oleh ketiga-tiga sahabatnya. Namun Alif tidak pernah berkecil hati.
Sedangkan, tatkala Hamid si kaki judi gembar berkata megah, Alif mengiakan menandakan di tahu itulah yang menggembirakan Hamid. Tatkala Farhan si kaki perempuan bermain mata dengan jalang jalanan tanpa menghormati keberadaan Alif, dia tenang dan percaya yang Farhan sedang gembira. Tatkala juga saat Rudi si kaki botol yang otaknya beku dan selalu benar mengikut tunjuk Hamid dan Farhan, tidak pernah sama sekali Alif mempersoalkannya kerana dia, seperti mana terhadap dua lagi kawannya, percaya itulah yang menggembirakan Rudi.
Dan Alif, tidak pernah mengungkit sikap rakan-rakannya. Kerana dia sebagai penjual minyak wangi, harus terikat dengan apa yang dia jual. Dan itulah apa yang membentuk dirinya. Pada saat Hamid, Farhan dan Rudi dalam kejatuhan, selalu benar Alif ini muncul. Tidak pula meminta balasan dan ganjaran, sebaliknya dilayan pula dengan dengki dan ego yang tak bersebab.
Satu hari, Alif jatuh nazak kerana mendapat barah. Tiga-tiga rakan tiada datang pada hari-hari akhirnya. Kerana mereka tidak pernah peduli akibat daripada keseronokkan mereka dalam dunia masing-masing. Pernah juga mereka berpakat untuk terus memulau Alif yang semakin kaya. Hinggalah pada nafas terakhir Alif, sebelum menghembuskan kalimah keesaan Tuhan dan kedudukan Nabi Muhammad, dia memaafkan rakan-rakannya. Turut juga dia meminta bantuan agar orang yang hadir pada hari terakhirnya untuk memberitahu ketiga-tiga sahabat itu yang dia ingin memohon maaf. Murni hatinya saat dia memaafkan kesalahan orang, lagi pula meminta ampun. Maka, matilah si penjual minyak wangi itu dengan tenang.
Dan pada waktu yang sama, Hamid, Farhan dan Rudi sedang mencerca si Alif hingga kering air liur mereka.
*jangan sampai orang lain yang mengaku salah kita.
Fatahul Nizam
13 III 2013
Blok C

