31 Oct 2014

Cik?

Cik, tolong jangan lalu di sini
sambil bersiul lagu syahdu
atau tayangkan senyum
bernilai syurga.

Ini bukan kawasan awam
yang cik boleh calit
tawa ria sendu dan
gelora hati.

Longkang di tepi cik ini
sudah berbau keji
tapi cik mahu jugak
tumpahkan bauan mawar
dan janji.

Semalam pun cik datang
tapi sengaja senyum
depan cermin yang retak
dah kenapa?

Dinding-dinding yang runtuh
dan pasu yang kosong,
cik tampal dan tanam
lili pula.

Siapa cik ni?

Fatahul Nizam
31 X 2014

25 Oct 2014

Reput

Jika aku gunung berapi, akanku tahan letusku.
Kerana amarah ini tidak membawa ke mana,
dan duli manusia tak puaskan aku.
Baik saja runtuh dan untuk itu aku menanti masa.
Sama seperti burung tua yang buta dan bisu,
takkan dihairan oleh manusia raya.
Walau terbang menerusi langit biru,
tetap mati ditembusi peluru durjana.
Aku tetap mereput biarpun laju nafasku.
Aku tetap hancur biarpun leka ketawa.
Dan itulah aku hanyut dan lesu,
menanti Azazil heret ke sana.



Fatahul Nizam
25 X 2014
Bilik

24 Oct 2014

Agungku Penyair

Khabarkan aku namamu,
agar bila kau mati,
ruhmu abadi. Dan penyair
lain meronta-ronta menangis,
gagal menyentuhmu.
Maka sang pembaca,
hati mereka bergelora,
menyebut insigniamu.
Kerana syair aku syair agung,
dan untuk namamu
terselit dicelahnya,
maka agungku
agungmu juga.




Fatahul Nizam
Bilik
24 X 2014