30 Sept 2012

Aku Bukan Bunga

Aku ini daun kering yang gugur
tak bersebab melainkan tiada guna.
Yang mudah ripuk dan hancur
laksana khayalku yang jendera.

Jatuh cinta pada siulan burung di dahan
buatkan aku rancak merindu.
Namun nyanyian itu kian perlahan
petanda ia larut menjauhiku.

Terus gugur dan tersadai di tanah
akan dipijak atau ditunu api.
Mujur angin mempelawa ke taman indah
sempat bergurau diajak menari.

Ianya sementara kerana ajakan itu khianat
hingga hancur rosak seluruh tubuh.
Direndam dendam oleh layanan kesat
dan teruslah musnah direnyuk musuh.



Fatahul Nizam
Kolej C
30 IX 2012

25 Sept 2012

Romantik (VII)

I

Hingga wajahmu melampaui anggunnya sang ratu,
dan degupan jantungmu memanggil namaku,
maka malam ini berbintangkan rindu.

Tergadai umurku dengan lanjutnya usia mentari,
demi bersinar hingga seawalnya pagi,
lalu malamku beradu disisi.

Cerita yang sama ku bisikkan di cuping,
melenakanmu saat terbaring.
Tersenyumlah kita di dalam hening.

II

Atau puisi ini ku gantung di dinding syurga,
saat kelingking kita bertaut selamanya,
kerana putaran alam ini hanyalah sementara.




Fatahul Nizam
Kolej C
25 IX 2012

21 Sept 2012

Wangi

Melambung harumnya aromamu
setinggi bumantara sedalam samudera.
Lalu berseleraknya bau itu
hingga tepu sekujur jagat raya.


Fatahul Nizam
21 IX 2012



*dah lama tak baca dan menulis puisi. Agak lemah bila empat baris sahaja yang aku mampu tulis.