27 Mar 2012

Surat Rahsia

Ada satu surat yang tak pernah tertulis dari bibirnya.
Kerana hati - sudut paling dalam jiwanya - tak
pernah menurutinya. Hingga bila tiba masa untuk
dia luah segala, nyawanya tergadai di hadapan dunia.

Fatahul Nizam
27 III 2012
Bilik

4 Mar 2012

Kilauan

Ratusan bintang di langit dibiar berkelip
biarpun dilindung awan tergelap di kening langit.
Hitam yang wujud di atas sana
membiarkan hatinya rasa sengsara.

Gerbang itu tertutup serapat laut dengan dasarnya,
serapat sungai dan tebingnya, dan serapat tubuh
dengan nyawanya. Degup jantung itu kembali
laju, deras, tanpa sedar meliar di puncak kaku,
hanya kerana seorang lelaki menyentuhnya.

Lalu bunga mawar itu hinggap dipipinya,
sambil alis matanya tertutup lembut.
Dan igauan nyata itu terus membara,
saat tangan dan air matanya disambut.


Bintang itu masih berkilauan,
di balik awan gemawan.


Fatahul Nizam
4 III 2012
Bilik

2 Mar 2012

Bariah dan Anas

Ini kisah sepasang kekasih nama Bariah, si perempuan, dan Anas, si lelaki. Adapun Bariah itu seorang free-hair dan Anas pula seorang yang tinggi ilmunya. Kontra pada luaran, namun jalur jalur persamaan itu terukir pada setiap perilaku mereka.

Adapun, sepanjang mereka berkasihan, tidak pernah:
1. berpegangan tangan.
2. berpelukan.
3. berdua-duan, melainkan berjumpa dengan sebab munasabah.
4. bertentangan mata dengan terlalu lama.
5. si Bariah bersolek dengan tebal
6. si Bariah mengkhianati Anas.


Sebebas manapun Bariah, dia mesti patuh pada hukum-hukum ini. Dan sebebas manapun jua si Bariah, tidak pernah Anas ambil kesempatan pada gadisnya. Kelak, gadis itu andai ada jodoh akan jadi isterinya di dunia dan di syurga.

Bagi Anas, "andailah seorang lelaki itu memegang tangan gadisnya dengan alasan dia itu kekasihnya, biarlah dia berseronok seketika sementara ngauman neraka itu tak pernah berhenti melihatnya."

Dan bagi Bariah, "hidayah Allah itu pasti datang dan saat ia datang, akan aku sarung hijab yang mana ianya jua adalah pelindung aku dari dosa."


Pada sudut lain, hubungan Anas dan Bariah itu sangatlah jauh. Untung bagi Anas kerana meluahkan perasaannya sebelum mereka berdua terpisah berbatu jaraknya. Agar jauhlah mereka daripada berdua-duaan tanpa sebab.

Kisah mereka ini tak perlu diceritakan lagi kerana tiada telinga yang menerimanya biarpun pada waktu ini, si Bariah sudahpun bertudung dan betapa manis dan sucinya wajah seorang gadis tatkala bertudung dengan sopan dan lembut.




Fatahul Nizam
2 III 2012
Tun Perak