28 Dec 2011

Romantik (IV)

I
Tangannya sendiri memetik
si harum. Disambut degup
jantung berombak dan deras
darah yang mengalir. Tanpa
ada ragu, (malah ia penuh
tertib dan mulia). Suci.

Dijaganya bunga itu
pada wangi dan harganya.
Tak tercampur tangan
yang ditadah demi mahalnya
si harum. Amat cintalah
dia pada kuntuman mewah
itu biar dilanggar petir dan
guruh, sahutan syair
dibalasnya.


II
Bunga itu makin layu
dan pasrah. Harapan itu
tergantung di antara redup
awan kaku yang sayu dengan
bayu syahdu lembut dari
Tanah Akhir. Disimpan
si bunga jauh ke dalam bilik
kebal. Ditutup dengan benci
yang malar. Dan bilik itu terus
terkunci. Hingga waktu
itu benar-benar menjemputnya.
Bersama semula.


Fatahul Nizam
28 XII 2011
Bilik

22 Dec 2011

Penghidu

Ini sebuah kisah yang dikutip dari tong sampah
di belakang warung Pak Kuli tanpa seorang pun
yang perasan.

Kisah ini tertutup rapat sebelum aku baca dan
ceritakan semula. Terletak padatnya ia dalam celahan
kertas buruk. Ku tanya diri, "kenapa helaian
rosak ini wujud di tepian dunia moden?"

Ianya ialah kisah Amar si pengutip daun.
Tak pernah walau sekali dalam hidupnya,
atau lebih tepat peparunya dihinggap asap
dari letusan putung rokok.

Satu hari, lekalah dia bermain mata dengan
gadis menunggu bas. Datang seorang gagah
menyalakan Gudang Garam, bersama mancis
bunga api yang nyalanya berbunyi enak.

Terhidu akan dia saat asap itu menerobos
ruang nafas si Amar. Lalu tatkala asap itu
mencium peparu lembutnya, menjunamlah
sebuah bas dari selatan melanggarnya, mati.

Itu kisah dia.

Dan kertas buruk itu aku simpan rapi.
Saat aku berjalan ke depan warung Pak Kuli,
datang seorang lelaki tua yang rokoknya kemas
di jari. Bersama-samanya, si anak kecil
muda, 2 tahun. Asap itu menerobos ruang
nafas anak itu. Nah, belakang mereka itu
bukankah Proton Wira laju hilang kawal?

16 Dec 2011

Romantik (III)

Aku lepaskan rasa cinta ini,
yang dahulunya aku ikat kebal
pada tiang tiang suci menghadap arasyNya.
Aku lepaskan rasa cinta ini,
dengan penuh duka bersama taruhan
teragungku - air mata.
Aku lepaskan rasa cinta ini,
untuk bebaskan kau dari rasa
benci padaku, biar setulus
manapun tangan kotor ini
menadah dan berbicara pada Tuhan.

Aku lepaskan rasa cinta ini,
di lewat malam yang bayunya suram.
Biarkan ia terbang, meredah lautan
pudar lagi nista dan hina di sana.
Aku lepaskan rasa cinta ini,
demi sedarkan aku akan hilangnya
rasa itu darimu buatku.
Aku lepaskan rasa cinta ini,
dengan berat, pedih dan terpaksa.
Biarpun jauh ke lubuk paling
dalam hatiku ini, aku berdoa,
agar jodoh itu ada. Namun ku
tak terdaya. Kerana ia tiada.


Si bangsawan tinggi mulia,
aku taburkan air mawar pada
pusara ini, di hadapan kabur
matamu. Nyenyaklah tidurmu.
Agar saat kau terjaga nanti,
aku lepaskan rasa cinta ini,
dan ia hilang dari rasa sukarmu.



Fatahul Nizam
16 XII 2011
Tun Perak

15 Dec 2011

Romantik (II)

Ibarat dirimu itu menghantuiku
dalam nyata dan maya.
Kemana sahaja akal ku khayal,
bayanganmu terselit dibalik sedar.
Dan kau bermain dengan hatiku,
tanpa ada gerak dari akurmu.
Memaksaku meninta namamu
dengan pena sehalus bahasa
pada hatiku.


Kosong.
Ku rasakan.
Dan ia pudar.
Untuk seketika.
Perasaan itu tiada.
Kerana ia terus kekal.
Selagi ku tak sebut namamu.



Fatahul Nizam
15 XII 2011
Tun Perak

10 Dec 2011

Segelap Bulan

saat angin itu berbisik lembut tanpa suara,
ayu para bintang di takhta langit yang terlindung
si bulan syahdu leka bercanda
bersama bayang ia bersenandung.

tersedarlah ia, itulah anugerah Tuhan buat dirinya
agar para manusia itu tahulah juga
alam itu ada pemiliknya.


Fatahul Nizam
Twitter
10 XII 2011