5 Jul 2012

Awliya'

Riuh-rendah suara kota saling memaki sesama mereka. Dalam pekatnya carut-capai yang terpelanting dari bibir manusia, atau gauk gagak atau mungkin jua deram enjin kereta, aku berjalan bersendirian. Membiarkan renai bertitik di bahu tanpa payung adalah biasa bagiku.

Dan pada malam itu, di sebelah bukit kubur - bersama-sama sunyi dan duka alam, aku terserempak seorang warga tua asyik duduk di bangku panjang. Tiadalah tanda tua pada rupanya melainkan kedutan di wajah. Matanya terlindung di bawah kelarai topi jaksi merahnya menutupi separuh rambutnya yang mencecah bahu. Tidak aku sama sekali lupa warna baju dan seluarnya yang merah kesumba. Bersarun tangan. Lengkap berkasut. Mengudut rokok kaung membiarkan lentik asap berkhayal di bawah kelibat purnama dan gerimis lembut.

Semakin dekat langkahku dengannya, semakin menarik tingkah dan rupanya. Perlahan dia menoleh dan berbisik, "teraju palingan angin, hati palingan Tuhan." Lalu tersenyum mempersilakan aku duduk di sisinya.

"Apa maksudnya?" tanyaku.
"Pendirian yang berubah-ubah," balasnya. Masih berbisik. Asap kaung menjulang tinggi.
"Siapakah saudara?"
"Aku ialah seseorang yang terus menyesal di dunia dan akhirat."

Dia bercakap (sambil berbisik) mengenai perihal yang pelbagai. Tentang Babylon, Melaka dilanggar Fringghi, falak dan angkasa, terciptanya Adam dan indahnya syurga. Aku mendengar setiap kisahnya dengan teliti. Namun setiap kali tajuknya diubah, aku terlupa apa yang dikisahkan sebelumnya.

Bila ditanya dari mana dia mengetahui semua benda, ini balasnya (sambil berbisik), "aku adalah pembaca setia buku-buku suci. Barangkali aku lebih mengerti isi-isinya berbanding kamu semua."

"Kamu semua?"
"Ya..kamu semua. Manusia biasa."
"Siapakah kau sebenarnya wahai si cerdik licik dan pandai?"
"Aku adalah teman rapat bagi orang-orang yang berdosa. Pendukung cahaya yang dihalau dari taman indah."

Dan selepas bersalaman, aku berlalu pergi tanpa menoleh belakang. Mengharapkan dia tidak lagi muncul. Kata-kata (bisikan) terakhirnya sebelum aku beransur membuatkan aku gusar dan terganggu.

"Akulah yang melemparkan bisikan dan hasutan ke dalam hati manusia."



Fatahul Nizam
5 VII 2012
Bilik