26 Jun 2012

Memori-memori TESL Yang Di-Noir-kan #6

Selesai Maghrib. Aku dan Acap terus tuju ke Temenggung. Seingat aku untuk bincangkan hal-hal Projek Sekolah bersama Neng. Bingit dewan makan itu buatkan aku rasa jengkel seketika saat aku melangkah perlahan masuk.

Tuju ke meja Neng. Itulah kali pertama aku jumpa Afiqah, si teman sebilik Neng. Dan Anuar Kil, antara Empat Kasturi. Berbual sekejap. Acap dah pergi ke meja lain. Sempat aku imbas, Hannah Yee, dan beberapa budak TESL yang lain duduk di meja itu.

Beku.

Untuk kesekian kalinya, aku mula maki diri aku kenapa ambil TESL.

21 Jun 2012

Kelam Malam Dua Puluh Tujuh

Kukuburkan kelu malam nan kelam.
Dalam diamnya alam diselam dendam.
Ditemani manisnya memoir dulu.
Diselimuti siut lembut siulan mulutmu.




Fatahul Nizam
Bilik
21 VI 2012


*terilham sewaktu aku mendengar Adagio dalam G Minor.
Betapa banyaknya gusar dan gundah berawangan.

16 Jun 2012

Gagak

Gagak hitam itu masih melayang di udara celahan jerebu putih yang kian menebal. Dirinya membawa diri sejauh dan setinggi sayapnya mampu melayang. Namun, tidaklah ia sendiri ketahui di mana dia sedangkan latarnya masih berkabus dan menyesakkan. Tiada lansung bunyi yang menyentuh telinganya sehinggakan bunyi terkuat sekalipun adalah dari degupan nadinya. Degupan nadi yang laju itu, beriringan dengan gerakan sayapnya.

Di tengah-tengah ruang udara berkabus itu jua, ia senyap dan mula mencari darat untuk bertapa. Kali terakhir ia menjejakkan kakinya, adalah di tanah berlumpur berbatu jauhnya dari di mana ia berada sekarang. Relalah dia mendarat di dahan pohon untuk mencari ketenangan hingga akhirnya, kukunya benar-benar menyapa dahan sebuah pohon suram.

Seraya itu jua, hujan mula menitis dimulai dengan gerimis dan diakhiri dengan lebatnya ia hingga menghalau kabus putih dengan angkuh. Keangkuhannya itu membuatkan ruang nafas di sekitar si gagak hitam mula jelas semula. Akhirnya, sedarlah jua si gagak bahawa hinggapnya ia adalah di sebatang pohon kemboja.

Saat itu jua, betapa terangnya mata si gagak melihat sebuah kubur tua di bawahnya dalam keadaan sayu dan penuh muram. Batu nisan itu sudah cukup menjelaskan kepadanya bahawa penghuni senyap di bawah sana sudah lama bersemadi. Tanah yang mengandungkan jasad memberi erti kepada gagak hitam. Dulu, semua orang menuduhnya sebagai pembawa sial - penanda kematian. Sedangkan saat ini, si gagak itu sendiri takutkan kematian. Menjeritlah ia keseorangan lalu bergemalah isi ruang seluruh kawasan yang suram itu.

Betapa kematian itu, dirasai baginya.

Fatahul Nizam,
Buku Nota
20 X 2010

7 Jun 2012

Romantik (VI)

Aku melintasi anggunmu
di laman bunga Mahsuri.
Merisik harum wangimu
di puncak bukit kasturi.

Ku mendengar gesekan bibirmu mengalun dondang,
Bertasbih sopan lalu bersyair puisi Arab.

Ku pejam mata lalu tenggelam.
Di hujung lautan aku diam.
Sempat kumenyeru isi alam
menjagamu tiada dendam.


Fatahul Nizam
10 VI 2012
Bilik.

5 Jun 2012

Hijrah Kedua

Jernih halus jalur rindu di dinding langit
memujuk aku merenung agungMu.
Mendengar puisi cinta sepanjang jalan sempit
mengais kabus dan percik neraka ngilu.

Ku selak kitabMu mendengar kata-kata.
Bersama nasihat Luqman dan kisah Iskandar.
Mencabar imanku membunuh dosa
yang terpalit kekal tiada tanda ia pudar.

Dakapku sendiri di dalam lena kyahal.
Menanti dan menanti azan merdu
merebahkan dahi yang tercalar kesal
Mengharap makrifat di puncak rinduku.

Selimutkan ruhku dengan akad yang pasti,
dari alam rahim, bernafas aku menghirup nikmatMu.
Terasa indah islah ini,
Mengekalkan aku dengan tiangMu.

Adalah getar bagiku yang hina nista,
menyambut Izrail mencantas tali nafas.
Tertunduk aku kaku saat membayangnya.
Terkujur tubuh lumat dek seksa keras.

Biarkan aku berjalan lesu di tanah kering.
Memburu hidayahMu tiada lelah bagiku.
Biar ditimpa musibah dan gering.
Akan gugur jua aku di alam suciMu.

Khabarkan padaku indahnya syurga.
Moga tertanggal alur dosa ku dari kelmarin.
Agar tatkala aku hilang di medan dunia.
Aku terjaga di Al-Muqammul Amin.

Fatahul Nizam
5 VI 2012
Bilik.

Memori TESL Yang Di-Noir-kan #5

Adat utama di Kolej Lelaki UiTM Lendu adalah nama panggilan. Dan waktu itulah, tanpa ribut kencang, ombak melambung dan petir guruh bersuara garau, aku dipanggil, "Ayahanda".

"Ayahanda TESL." "Ayah." "Papa." "Daddy." "Bapak."

Dan sebagai penghulu kelas 1B, memang layak aku dipanggil "ayah."


Beberapa hari berlalu.

"Bonda."

Kejap. Bonda?

2 Jun 2012

Memori-memori TESL Yang Di-Noir-kan #4

Saat Melaka digempur Feringgi, hilanglah maruah pemerintahnya. Rakyatnya gugur satu persatu dan terbakarlah kota Melaka dari pantai hingga ke jambatan. Riuh jatuhnya kota agung itu dirasa hingga ke Muar, Tanjung Batu dan Merlimau.

Itulah imej yang terpancar dari minda saat aku pertama kali ketahui di dalam 1B itu adanya tiga orang Melaka termasuk aku. Seorang punghulu agung dari Merlimau. Seorang lagi Orang Kaya dari Ayer Molek.

Dan terlalu banyak kaitan aku dengan mereka berdua sebelum masuk ke sini. Namun, inilah pertama kali aku jumpa mereka berdua.

Kelak, di atas runtuhnya kota Melaka, berdiri semula semangat Taming Sari, Lekiu dan pantun.