13 Jun 2013

Terbahagi

Tenggelam dalam puisi ini sebagai aku
agar kau tahu hitam dan putihku lebih
jelas dari dosa-dosamu.

Tubuh yang terikat dengan rantai besi
memaksa aku untuk berdiam. Diam dalam
kesedihan yang tak terbayar kerana
menanggung ego dan angkuhmu.
Benci aku tiada sebab biarpun
dibakar seluruh jasadku dengan tanganmu.
Atau langkah kakimu yang berlalu
pergi tanpa pernah berpaling walau
sekali. Dan pekak telingamu sehingga
aku bisu menjerit namamu. Parut
pada lengan, mengingkatkan aku
harus bernyawa. Namun kelibatmu
menyuruh aku pergi selamanya.
Aku jerit dan amuk kerana aku
menyendiri. Dan terus menjerit
biar disapa suaramu. Kerana aku
terkurung dalam jeriji besi.
Yang dibina megah oleh
palsumu.


Fatahul Nizam
13 VI 2013
Blok C

12 Jun 2013

Beku

Inilah pagi tergelap yang mengejutku.
Tidak mendung, jauh lagi lebat hujan.

Tiada bunyi mengkhabarkan suram.
Hanya tangisan di bilik sebelah.

Lelaki yang sama mengesak-esak.
Mencabar gagak menguatkan kuak.

Udara beku melanggar tubuhku.
Tiada tanda gerimis dan ribut.

Nafasku semakin nipis mengenangkanmu.
Adakah si baju hitam sudah bertandang?

Kerana lelaki yang tangis itu mengejutkannya?
Dan angkanya sudah mulai terhenti?

Oh ya memang dia yang dicari.
Tapi, bukankah kami insan yang sama?


Fatahul Nizam
12 VI 2013
Blok C

Darah Mengalir Laju

Darah mengalir laju
membawa dendam yang membara.
Sakit.
Kakiku lenguh di hujung tebing,
menanti patah jatuh ke bawah.
Darah mengalir laju
membawa khabar derita.
Seksa.
Retak lutut makin memaksa.
Resah aku semakin resah.
Darah mengalir laju
Tidak membawa apa-apa.
Mataku mulai rapat
serapat hati yang termampat.

Ambil aku dalam diam.
Mati aku seorang diri.
Darah mengalir membawa dendam.
Jangan siapa ambil peduli.



Fatahul Nizam
11 VI 2013
Blok C