30 May 2012

Memori-memori TESL Yang Di-Noir-kan #3

Beribu tahun yang lalu, Leonidas memimpin tentera Sparta seramai 300 orang untuk meggempur ribuan tentera Parsi. Dia memimpin tentera dengan berada di hadapan. Bukan seperti Hitler yang mengarah dari reich chancellery miliknya di Berlin.

"Hitler atau Leonidas? Tak tak. Fatih."

Aku mengelamun sebelum bergerak ke kelas 1B. Untuk minggu pertama, aku saling bergerak dengan Zuhri. Budak satu aras dengan aku di Lekiu. Pemilik wajah yang unik dari Perak dan bekas pendukung ilmu di MRSM. Mungkin dia berguna.

Dia pernah tunjuk aku teknik-teknik menggodam yang aku sendiri tak tahu dari mana dia belajar. Untuk bandingkan dia dengan Alec Hardison dah tentulah jauh beza. Dia pernah bagi aku satu nasihat yang aku tak pernah lupa (dan aku sendiri tak tahu ia berguna atau tak):

"Jangan berlembut dan terpengaruh sangat sikap perempuan."

Berbulan lepas tu, aku pandang dari jauh melihat kelibat dia. Satu perkara yang aku sedar dan aku belajar sepanjang aku melalui persahabatan di sini.

Nicholas Tsar, maharaja terakhir Russia dibunuh bersama-sama keluarganya. Dikhianati oleh orang yang paling dipercayainya, Paderi Grigori Rasputin.

Kisah Perempuan Dari Lorong-lorong.

Di lorong-lorong kecil dia bermadah
dan menjerit nama yang sama berkali-kali.
Tiada penat yang memanah pasrah
atau sentap di dalam hati yang mati.

Bibir merahnya mengucup mawar.
Gugurlah kelopak dan terbang menghilang.
Tiada siapa tahu kelat pahit hatinya tawar.
Inikan pula sedih pilu memanjang.

Di lorong-lorong kecil dia bermadah
dan memekik nama yang sama tanpa henti.
Hujan lembut turun ke bumi ditadah,
lalu direnjis ke dinding kaku yang menyendiri.

Kelopak matanya terkenyit dipukul angin dari utara.
Udara yang sama memukul hijabnya, lembut.
Dia masih mengharap ada rezeki dari syurga.
Atau nikmat yang jelas nyata meribut.

Di lorong-lorong kecil dia bermadah
membisik nama yang sama sentiasa.
Di lorong-lorong itu dia bersumpah,
mahalnya dia adalah pada imannya.



Fatahul Nizam
30 V 2012
Bilik

19 May 2012

Penggali

Penggali kubur itu membetulkan topi jeraminya. Di tanah perkuburan itu, tiada satu pun di setiap sudutnya termuncul mahupun tersampai makna gembira. Yang ada hanyalah kedukaan, kesedihan dan kemusnahan.

Hari ini, dia menjalankan tugasnya. Untuk menanam jenazah-jenazah yang mati dibunuh kejam. Dia menggali tanah sedalam-dalamnya. Peluh keringat yang mengalir di kerutan dahi turun perlahan ke pangkal dagu lalu tumpah mencium dasar tanah yang bakal menjadi pusara abadi.

Suasana gelap mendung langit bersama kemboja yang tak terusik dan layu mati, menyambut kedatangan keranda yang isi jenazah impian seorang manusia. Diturunkan jenazah kaku itu perlahan-lahan sambil air mata yang gugur tak sanggup lagi menahan diri. 19 Mei menjadi saksi perginya impian yang menjadi tunggak tunggal milik penuntut ilmu yang setia.

Penggali kubur itu menimbus tanah. Dibacakan talkin selamat tinggal. Lalu dipacakkan nisan yang selamanya tertulis, "Terkuburnya impian seorang bakal pendidik. Terkuburlah jua bersama tuannya."



Jenazah itu ditinggal keseorangan. Tanpa diratap, keramaian berlalu pergi mengejar impian masing-masing. Dan penggali kubur itu masih lagi di situ. Membetulkan semula topi jeraminya.




Fatahul Nizam

16 May 2012

Semerdu Talkin

Segelap rasa sepi itu sesayu suara syahdu
kerana yang bernafas dan adanya jiwa
tentu memeluk maut yang menuju.
Pesan Tuhan, suratNya, Anbiya.

Selembut suara talkin disebut
"Tuhan yang mematikan sekalian alam yang bernyawa"
Sekeras nada lantang dibaca
"Sekalian makhluk jahanam dan binasa"

Mati itu nyata, kubur itu nyata,
maka diamlah kita tiada bicara.
Moga ada mendoakan sentiasa
Di Barzakh, tergantung segala nyawa.



Fatahul Nizam,
Seremban,
16 V 2012

12 May 2012

Nyanyikan Aku Neruda

Nyanyian puisi
dari suaramu
Meniup lembut
angin petang.

Selandang birumu
tersemat jiwamu
Bersama ayumu
satu.

Nyanyikan aku
puisi Neruda
Seriusku mendengar
segala.

Butakanku semula
dengan potretmu
Dan biarkan aku
tenggelam.

Bait-baitmu
Tersusun serinya
Madah bersuara
indah.

Lalu kukuburkan
segala puisiku
Bersemadi sepi
selamanya.

Aku yang dahulu
tergugur di pintumu
Memburu hasratku
Namunku hilang
dalam udara.

Nyanyian puisi
Jangan kau henti
Cinta kamu bererti
pedih.



Fatahul Nizam
12 V 2012
Bilik

6 May 2012

To Kill A Poet

I walk sluggishly
along the route.
Allow the breeze speaks
melodiously as the midnight
passing by. Let the
moon shows its best
even the gloomiest night
can't suffer it.

This evening,
I'm going to kill a poet.
This is not a confrontation of wisdom.
This is not a melancholy poem.
It is just a conspiracy
to murder a poet with verses.



Fatahul Nizam
6th of V 2012
Uncle's House.