15 May 2025

Hujan dan arang

Hujan dan arang
Darah dan kabus
Api dalam luka
Racun dalam duka
Musuh tapi selimut
Teman tapi kedukaan


Fatahul Nizam
15 V 2025
Kuala Lumpur

19 Jul 2021

Adat Mengetuk Dulang

Kalau tuan mengetuk dulang, 
harus diguna paku nan tumpul. 
Ketuk dan pukul sehabis kudrat, 
hingga serpih cela rupanya. 
Kata orang, molek lebih-lebihkan. 
hingga bergema seluruh kampung. 
Kadang terlupa membuat bunyi, 
hempas sahaja dulang ke atap. 
Kalau boleh biar tertonjol 
hasrat di hati tampak mulia. 
Keringkan hati jangan berlapik. 
Hasilnya pasti dirai sebuana. 


Itulah adat mengetuk dulang, 
biar sampai pakunya serpih. 



Fatahul Nizam 
19 VII 2021 
Masai

26 Sept 2019

Melur

Kuntuman Melur dalam genggam kananku
putihnya bukan kosong.
Ditiup nyawa dan lagu-lagu
indahnya tak kuhitung.
Biarkan semalam kutinggal kekal
memberi laluan raksi kelopaknya
hingga mekar kasih nan azal
tiada kuingat mana mulanya
Rindu ini tidak bertuan,
sebelum disapa wangi nan masyhur
Cinta ini tidak bertuan,
sebelum embun memuja Melur.



Fatahul Nizam
Megah Ria
26 IX 2019

17 Aug 2015

Surat-Surat Di Dalam Laci

Surat-surat yang tersimpan dan tulisan yang tak dinukilkan,
adalah pepohon rendang yang tak diazab tangan pendosa.
Malangnya perlahan mati tanpa dihargai wujudnya mereka,
dan pusara kayu itu tak dilawat hingga reputnya menjadi debu.

Tapi kau tidak begitu.
Kerana suratmu dibaca orang
umpama dedaun layu
meronta agar ranting ditebang.



Fatahul Nizam
Bilik
17 VIII 2015

13 Jul 2015

Tentang Kabus Malam Di Tengah Padang

Pabila masa meluncur laju dan nafasmu tersekat
pada ruang sesak, yang tinggal bersamamu
hanyalah stanza memori dan bau vanilla dan arang.
Pada jam itu, rokok di celah jarimu adalah
kecil, dan udara dingin dari dendam Disember
berbisik tentang neraka yang kau idami.
Ruang sesak itu memaksa kau memerah
air mata, dan bercakap dengan suara halus
"aku adalah apa yang aku pernah" dan
pada kali kedua kau bertanya itu, jiwamu
diratah kesumat lama tentang
menjadi manusia
dan debu pada
waktu yang
sama.



Fatahul Nizam
13 VII 2015
Bilik