30 Jan 2015

Bengkak

pada hari tanganmu terlepas dari genggamanku,
tubuhku diikat dengan rantaian duri dan api.
menghalang aku mengejarmu dan paksaku berdiri kaku.
hingga batinku meronta-ronta pedih dan perit sekali.

lututku menggigil deras hilang punca
otakku bingung mataku bengkak
tangisku rabak hatiku koyak
dan kau tetap tak muncul tiba.

jangan berputus asa hai puteri
jangan dibenci apa yang dirimu korbankan
kerana sekecil-kecil kasih yang kau beri
adalah tiang untuk aku pautkan

pada hari tanganmu terlepas dari genggamanku,
tubuhku diikat dengan rantaian duri dan api.
menghalang aku mengejarmu dan paksaku berdiri kaku.
hingga batinku meronta-ronta pedih dan perit sekali.

kesalnya kita pada dosa nan lalu
membawa kita ke jalan yang lurus semula
dan izinkan aku untuk memimpinmu
perlahan-lahan kita pulang kepadaNya.

tapi jangan kau pergi jauh, jangan kau pergi.
hati ini terus membengkak hingga urat lenganku putus
dan pisau dan darah yang kutakutkan datang kembali
hinggalah suaramu dan keberadaanmu ada tulus

benarkan dirimu untuk mencari semula baiduri
dalam cintamu buat seorang lelaki hina ini
kerana dia tak pernah meminta apa-apa
melainkan rasamu yang membuatnya gembira.

pada hari tanganmu terlepas dari genggamanku,
tubuhku diikat dengan rantaian duri dan api.
menghalang aku mengejarmu dan paksaku berdiri kaku.
hingga batinku meronta-ronta pedih dan perit sekali.

bolehkan kita mulakan semula?
apa yang kita lalui dulu
kerana serikku tidak pernah ada
sekalipun dihenyak olehmu



Fatahul Nizam
30 I 2015
Bilik

5 Jan 2015

Acah-Acah

apa yang kau cari hingga laut dalam
aku tak mahu dan takkan tahu.
tulislah prosa seindah Gilgamesh
hingga patah jari konon-rapuhmu,
aku tak mahu dan takkan tahu.
bintang itu tetap bergantung pada alam
laut biru itu tetap biru dan biru
lorong gelap yang kau lalui
tetap hanyir tiada metafora.
jangan humban aku ke dalam hiperbolamu
atau acah-acah personifikasimu.
aliterasimu hambar melemau
dan teksmu hanya sususan abjad kosong
menghasilkan bunyi dan makna,
bukan naratif yang melemaskan
hingga berlapis-lapis seperti
timbunan tahi yang jatuh ketul-ketul
dari punggung hangatmu.
oh cukuplah
aku tak mahu dan takkan tahu
dari kau hai 'penyair'



fatahul nizam
5 i 2015
padang nenas

9 Dec 2014

Puteri

biar dunia ini retak dan fana membara sekalipun
manusia takkan lelah dari menyebut burukmu
jauh dari mulut mereka adalah murnimu merimbun
dan terdekat dengan lidah mereka hanya silam dosamu

gadis, mengapa perlu bau ludah hanyir mereka
andai kita ada kuntuman bunga di celah rambut
yang kelopaknya adalah tangan kita tergenggam mesra
sambil jiwa ini, gelora ini, cinta ini, liar meribut

hai puteri pemilik mata yang selangit cantiknya
tahan air matamu perlahan-lahan sayang
kerana senyum bercorak nilammu lebih berona
dari tangis pilu yang diratap dendamnya orang.

kalaupun dunia ini retak dan fana membara
kau ada aku dan untuk itu kau perlu tahu
goncang manapun dentuman nista mereka
puisi inilah yang menjulang tiaramu


Fatahul Nizam 
9 XII 2014
Padang Nenas

28 Nov 2014

daulat pisau dan api

mana ada senyum
bila pisau, besi, jarum
dan api memasang parut
pada lengan kanan
dan darah yang memancut
keluar takkan cukup untuk
membayar air mata yang banyak.

kerana yang pasti, ada lega menemani
walau sampai temulang parut ini
menjalar liar maha ghairah
dan barangkali itu memadai untuk
sekeping alpa pada khilaf lama.


Fatahul Nizam
28 XI 2014
Padang Nenas

2 Nov 2014

Nami

nami
nama yang menggelegak
di dada seorang penglipur
seperti merkuri
dan asidnya menghakis
dosa dan duka

maskaranya sempurna
seperti sayap keningnya yang menggoda.
belum lagi senyumnya
yang kuntuman tulip dihina kerananya.

kelibatnya mengekori
dari gelap aku hingga bercahaya neon
seiring berjalan di sisi
menghidu lavendarnya
lalu aku berhenti
bila dia berhenti
meratapi perhatiannya
menagih suaranya.

nami
nama yang mendidih
menggeliat dalam kopi
seperti nafas ini meronta-ronta
menyebutnya.

ragu dan bimbang
disambar kilat
bila namanya
abadi di dada.



Fatahul Nizam
2 XI 2014
Padang Nenas