pada hari tanganmu terlepas dari genggamanku,
tubuhku diikat dengan rantaian duri dan api.
menghalang aku mengejarmu dan paksaku berdiri kaku.
hingga batinku meronta-ronta pedih dan perit sekali.
lututku menggigil deras hilang punca
otakku bingung mataku bengkak
tangisku rabak hatiku koyak
dan kau tetap tak muncul tiba.
jangan berputus asa hai puteri
jangan dibenci apa yang dirimu korbankan
kerana sekecil-kecil kasih yang kau beri
adalah tiang untuk aku pautkan
pada hari tanganmu terlepas dari genggamanku,
tubuhku diikat dengan rantaian duri dan api.
menghalang aku mengejarmu dan paksaku berdiri kaku.
hingga batinku meronta-ronta pedih dan perit sekali.
kesalnya kita pada dosa nan lalu
membawa kita ke jalan yang lurus semula
dan izinkan aku untuk memimpinmu
perlahan-lahan kita pulang kepadaNya.
tapi jangan kau pergi jauh, jangan kau pergi.
hati ini terus membengkak hingga urat lenganku putus
dan pisau dan darah yang kutakutkan datang kembali
hinggalah suaramu dan keberadaanmu ada tulus
benarkan dirimu untuk mencari semula baiduri
dalam cintamu buat seorang lelaki hina ini
kerana dia tak pernah meminta apa-apa
melainkan rasamu yang membuatnya gembira.
pada hari tanganmu terlepas dari genggamanku,
tubuhku diikat dengan rantaian duri dan api.
menghalang aku mengejarmu dan paksaku berdiri kaku.
hingga batinku meronta-ronta pedih dan perit sekali.
bolehkan kita mulakan semula?
apa yang kita lalui dulu
kerana serikku tidak pernah ada
sekalipun dihenyak olehmu
Fatahul Nizam
30 I 2015
Bilik

