Cik, tolong jangan lalu di sini
sambil bersiul lagu syahdu
atau tayangkan senyum
bernilai syurga.
Ini bukan kawasan awam
yang cik boleh calit
tawa ria sendu dan
gelora hati.
Longkang di tepi cik ini
sudah berbau keji
tapi cik mahu jugak
tumpahkan bauan mawar
dan janji.
Semalam pun cik datang
tapi sengaja senyum
depan cermin yang retak
dah kenapa?
Dinding-dinding yang runtuh
dan pasu yang kosong,
cik tampal dan tanam
lili pula.
Siapa cik ni?
Fatahul Nizam
31 X 2014

