9 Nov 2013

//19.Perahu,ms

Dakwat hitam,
kekal namamu,
di lengan kiri,
//19.Perahu,ms.


Fatahul Nizam
9 XI 2013
Padang Nenas

3 Nov 2013

Di Suatu Malam

Aku teringat di suatu malam
selepas suria terbenam di bening barat,
engkau berkata sesuatu
tentang ombak di bulan April.
Belum sempat kau sapu derita di pipi,
parut itu terkoyak semula kerana bicara.
Betapa paluan ombak itu bukan kegemaranmu,
namun ia asyik basah di bibir.
Di bawah lilipan bintang samar, katamu:
"Hempas ombak tenggelamkan impianku."
Dan perlahan-lahan air matamu melahap
lalu membeku di atas tanganku.
Seperti mana impimu didakap laut,
begitulah tubuhmu dalam tanganku.



Fatahul Nizam
3 XI 2013
Bilik

27 Oct 2013

Matinya Seorang Pembaca Puisi

Seingatku, puisi terakhir dalam genggamannya
adalah milik Amir atau mungkin Ananta.
Waktu hidup dulu menelaah puisi,
tak pernah terduli nyawanya sendiri.
Bila diajak berbicara hal ilmu,
seratus puisi pun, terbelit lidah dia terbisu.
Entah ke mana bait puitis itu membawa,
tak kata ke syurga, tak juga neraka.
Menghadam Kipling setiap hari,
dengki berdaki masih di hati.
Atas kamarnya bergelendang buku,
masuk ke hati tiada pun satu.
Bongkak dan angkuh membaca Shamsir,
bila mati mulutnya hanyir.
Kini mati si penyangak puisi,
pembaca dakwat tidak berisi.



Fatahul Nizam
27 X 2013
Padang Nenas

24 Oct 2013

Selimut

Jika gelap itu seperti cahaya, kilau dan indah, mana mungkin aku keluar dari selimut. Diratah puji dan angkuh sementara, itulah apa yang selimut ini lindungkan. Jika gelap itu seperti cahaya yang auranya mega dan tenang, mana mungkin aku keluar dari selimut. Menyebar cerita tentang lemahnya diri, lalu reput dipijak insani. Jika gelap itu seperti cahaya, gagah berhias, mana mungkin aku bakar selimut ini. Kerana aku di luar ini, bisu, lesu, beku dan kaku. Jika gelap itu seperti cahaya..

...apakah ada lagi selimut kedua? Kerana kulit ini sudah terkoyak disiat cahaya - dusta dan sementara.



Fatahul Nizam
Padang Nenas
24 X 2013

5 Sept 2013

Hiatus

Pada hari dia mati, dedaun kering yang gugur ke tanah seperti hari-hari lain, tiada. Hanya bunyi rintik hujan menjadi peneman di bawah tanah. Betapa bunyi itu sungguh cantik dan menakutkan pada waktu yang sama. Teman-teman bicaranya menangis. Ada di antara mereka terdiam, ada yang melutut, ada yang gugur pengsan ke tanah. Gerimis yang turun dengan perlahan itu, wanginya saduran lavender dan kasturi. Harum itu bergema ke seluruh tanah perkuburan.

Suara-suara yang pernah memanggil namanya kedengaran dari jauh. Dari memori yang terbentang kemas, jatuh bangunnya, gagah lemahnya, tumbuh patahnya dan tidur bangkitnya, setiap fragmen kenangan itu bermain ibarat cakera padat yang dipenuhi filem-filem agung dan dimampat dalam durasi satu saat di minda setiap jiwa yang menangis itu.

Sudah tiba masanya untuk dikenang. Dan dia kini sudah tidur dengan nyenyak diselimuti air mata teman-temannya. Tidak seperti kala hidupnya. Saat dia menghilang, tiada siapa peduli. Namun hari ini, hilangnya dia untuk selamanya, tidak dia mampu mengawal beritanya. Tidurlah dia dengan nyenyak.



Fatahul Nizam
5 IX 2013
Bilik