25 Mar 2014

Selamat Malam Permaisuri Langit

Cinta permaisuri langit
pada gelora bahari
adalah duka kita
yang takkan usang.


Fatahul Nizam
Pustaka
25 III 2014

8 Mar 2014

Puspita

Hai sang anggun puspita dambaan neraka,
adakah dosa bibirmu membakar jasadku lagi?
Kerana setiap kali kau menghembus kata,
bahangnya menjadi punca hatiku lekang.



Fatahul Nizam
8 III 2014
Padang Nenas

4 Mar 2014

Manis Cuka

Kerana kau percaya pada penyair,
sanggup berkapan puisi pujangga;
Nafas berak tetap hanyir,
walau mulut semanis cuka.



Fatahul Nizam
4 III 2014
Padang Nenas

1 Feb 2014

Gadis Dan Puntungnya

Apa yang kau tahu tentang gadis dan rokoknya?
Pernah kau kisah tentang kisahnya, atau pura-pura
tahu durjananya dia. Ringan mulutmu mengata dia
lebih ringan dari kain kepalamu.

Berhenti.

Renung dia dan asap yang menemani sunyinya,
apakah ceritanya kurang mulia dari ceritamu?

Mungkin dulu lurah dendamnya pernah dirobek,
mungkin dulu tangisan geloranya paling syahdu,
mungkin dulu jiwanya disalib dengan bulan dan bintangmu.
mungkin dulu rahsia malunya diratah serigala.

Dan renung kembali wajahmu,
sang gadis berkalung serban,
sentiasa cantik di mata Tuhan.

Kasihanilah juga gadis dan tagihnya,
dia juga punya cerita lama.

Kelak mungkin,
bara di hujung puntung itulah
yang membakar mulutmu di sana.


Fatahul Nizam
1 II 2014
Bilik

16 Jan 2014

Neon

Pada hari neon itu memudar,
aku jahit cahayanya menjadi gumpalan
-gumpalan harapan yang samar.
Dan kugantung ia di antara malam,
hingga gumpalan itu gugur semula
lalu hanyut ditindih sang gelap.
Ku sangka dalam hitam itu ada
biru, kuning dan gelora.
Jelas, hanyalah impian
yang tergantung di celah
kangkang kepalsuan.

Dan aku tanya pada kau semula,
adakah secangkih borak dan
selembar udara nyaman Januari,
adalah juga palsu
seperti neon matamu?


Fatahul Nizam
16 I 2014
Bilik