29 Aug 2012

Trompe L'oeil (Sajak Pembuka kepada Pembuka)

Jauhnya awan dari dasar bahari,
tidak terbanding jauhnya kita.
Ku dayung bahtera memori,
hingga pengayuhnya retak dan cela.

Jauhnya bumi dari kerak sang rawi,
tidak sama berpisahnya kita.
Terbakar lelahku taat menanti,
menyusun semula peta di jiwa.

Tingginya kejora tiada terhenti,
masih sejengkal dekatnya kita.
Cerlang wajahmu kilaunya asli.
Tiada ubah sejak bersua.


    Kerana jauh itu terlalu dekat bagiku,
    hingga harummu menjentik hidungku.
    Ketahuilah aku bahawa kamu
    Ilusi terhampir dalam anganku.



Fatahul Nizam
Bilik
29 VIII 2012


*personaliti kedua sajak ini boleh dibaca di sini : C'est La Vie

26 Aug 2012

Alunan Guguran Daun

Pada picisan daun kering yang tertanggal dalam sunyi musim panas,
aku memohon agar dunia ini berhenti dan senyap seketika.
Membiarkan ia mendengar asyik dan merdu suaramu
yang terluah dalam nafas yang tersekat di bibir lembut.

Senyap hingga degup jantungmu bergema ke angkasa raya,
dan hanya denyut nadi itu aku perlukan.
Menjadi teman tidurku.
Ku laraskan heningnya musim sejuk itu
agar debaran hatimu jelas dan nyata.

Begitulah ku harapkan sunyi itu benar,
dan dalam lena irama dari jiwamu, Baiti,
bersemadi senyuman terindah.



Fatahul Nizam
26 VIII 2012

13 Aug 2012

Intuisi Kewujudan Cinta I

Setiap kali engkau ada,
aku hilang selamanya.



Fatahul Nizam
13 VIII 2012

4 Aug 2012

Penipu I

Berapa kali aku pekik,
aku penipu utama.
Dalam sulit dendam
yang lembut berirama,
aku membunuh
kebenaran dari bibir manusia.

Dan kepalsuan yang aku taburkan,
menjadi tiang tunjang
menahan perit lidah bertutur.
Antara kebatilan dalam
kata seorang wira,
atau kezahiran dalam
tulisan seorang jahil,
aku di tengah-tengahnya.

Jangankan awan hitam
turunkan hujan, hati
gelapku jua kutaburkan
kebencian.



Fatahul Nizam
4 VIII 2012
Bilik


*selepas sekian lama tak berpuisi.

5 Jul 2012

Awliya'

Riuh-rendah suara kota saling memaki sesama mereka. Dalam pekatnya carut-capai yang terpelanting dari bibir manusia, atau gauk gagak atau mungkin jua deram enjin kereta, aku berjalan bersendirian. Membiarkan renai bertitik di bahu tanpa payung adalah biasa bagiku.

Dan pada malam itu, di sebelah bukit kubur - bersama-sama sunyi dan duka alam, aku terserempak seorang warga tua asyik duduk di bangku panjang. Tiadalah tanda tua pada rupanya melainkan kedutan di wajah. Matanya terlindung di bawah kelarai topi jaksi merahnya menutupi separuh rambutnya yang mencecah bahu. Tidak aku sama sekali lupa warna baju dan seluarnya yang merah kesumba. Bersarun tangan. Lengkap berkasut. Mengudut rokok kaung membiarkan lentik asap berkhayal di bawah kelibat purnama dan gerimis lembut.

Semakin dekat langkahku dengannya, semakin menarik tingkah dan rupanya. Perlahan dia menoleh dan berbisik, "teraju palingan angin, hati palingan Tuhan." Lalu tersenyum mempersilakan aku duduk di sisinya.

"Apa maksudnya?" tanyaku.
"Pendirian yang berubah-ubah," balasnya. Masih berbisik. Asap kaung menjulang tinggi.
"Siapakah saudara?"
"Aku ialah seseorang yang terus menyesal di dunia dan akhirat."

Dia bercakap (sambil berbisik) mengenai perihal yang pelbagai. Tentang Babylon, Melaka dilanggar Fringghi, falak dan angkasa, terciptanya Adam dan indahnya syurga. Aku mendengar setiap kisahnya dengan teliti. Namun setiap kali tajuknya diubah, aku terlupa apa yang dikisahkan sebelumnya.

Bila ditanya dari mana dia mengetahui semua benda, ini balasnya (sambil berbisik), "aku adalah pembaca setia buku-buku suci. Barangkali aku lebih mengerti isi-isinya berbanding kamu semua."

"Kamu semua?"
"Ya..kamu semua. Manusia biasa."
"Siapakah kau sebenarnya wahai si cerdik licik dan pandai?"
"Aku adalah teman rapat bagi orang-orang yang berdosa. Pendukung cahaya yang dihalau dari taman indah."

Dan selepas bersalaman, aku berlalu pergi tanpa menoleh belakang. Mengharapkan dia tidak lagi muncul. Kata-kata (bisikan) terakhirnya sebelum aku beransur membuatkan aku gusar dan terganggu.

"Akulah yang melemparkan bisikan dan hasutan ke dalam hati manusia."



Fatahul Nizam
5 VII 2012
Bilik