12 Feb 2013

Romantik (VIII)

Tubuhnya berpelukan mendengar cerita.
Yang terbisik dari tutur halus.
Sinikal ternada di balik suara.
Kerana ia tentang hati yang tulus.

Perlip dia pada budi biduan,
mengarang syair sayangnya mengalir.
Biar hatinya tidak terlawan,
nasib diusir kama yang hadir.

Tahulah dia susahnya cinta.
Sekali dijual rindu yang mulus.
Kerana akal tidak berbicara,
dipetik gambus talinya putus.

Lukalah dia dilecut rawan.
Berpeluk tubuh di balik langsir.
Mengalun bisik separuh sawan,
tentang hatinya pilu disindir.


Fatahul Nizam
12 II 2013


*mulai Romantik VIII, ia ditulis kepada 'orang baru'.

6 Feb 2013

Misogini

Kering lidah bercerita kisah kita.
Rapat mataku membayang hal lalu.
Lalu acuhku usah dibeza.
Tiada serendah pedulimu padaku.

Tentang rahsia dan hakikat
kita bertengkar dalam diam.
Menahan sebak yang memekat,
hingga darah dan air mata menghitam.

Cukuplah menghias delima di tiara.
Lantaran deras benciku mengalir deras.
Tidak disebut duka sesamudera,
pasti ombaknya memukul keras.

Di lembah kesumat ku dibalun khianat,
membesarnya aku berselimut celaka,
Dendam ini tiada penat,
Moga hancurmu tiada putusnya.



Fatahul Nizam
6 II 2013
Bilik

8 Jan 2013

Di Bahu Jalan

Tertawa mereka tangis berpisah.
Dendang irama gembira dan duka.
Ada tertunduk menahan pasrah.
Tidak dilupa pelukan mesra.

Andai dalam kabur itu adanya cerah,
akulah itu di celah mereka.
Andai terbit di hatimu itu gundah,
setia aku berdiri di sana.

Di bahu jalan kusaksikan dunia
Menanti masa untuk melintas.
Biar senyap bibir manusia,
setiap syahdumu sedia kubalas.

Dan biarpun kau dihenyak seksa,
atau dibalun dipukul pilu,
Aku masih di bahu jalan yang sama.
Calitkan saja sakitmu di tubuhku.

Jelas dapat ku dengari
Tawa dan tangis di sekitar ayumu.

Dan kau, dengar?

Waktu kita tertembung saat melintas,
Ku pejamkan mata meneliti langkahmu.
Deras degup jantungmu guruh tertewas,
Terseksa air mata ku tahan lalu tepu.

Dan masih kerana engkau, hai dewi,
bersama gugup, gelentar dan peluhmu,
membuatkan aku benar memahami,
hari ini adalah biasa bagiku.



Fatahul Nizam
8 I 2013
Pustaka

19 Dec 2012

Budiman

Tiada siapa sanjungi seorang budiman
seperti aku yang dihentam kusam
gigih bangkit memayungimu
dalam renyukku, dalam renyukku.

Luka tanganku memungut kekaca air mata
yang berderai musnah dihempas dosa.
Namun darah ini menyedarkan aku
dalam renyukku, dalam renyukku.

Bibir dusta menghalun bicara
memekik silamku tiada batasnya.
Terselimut aku dipeluk pilu
dalam renyukku, dalam renyukku.

Itulah kaca dan berlian orang budiman
tiada beza di balik hujan.
Mati dan hidup hanyalah kaku
dalam renyukku, dalam renyukku.



Fatahul Nizam
19 XII 2012
Blok C

8 Dec 2012

Rindu

Mana suara berpasakkan cahaya
berbiraikan tabir berona purnama.
Kucupan salam dilayang samudera
Hingga terbawa ke alam lena.



Fatahul Nizam
Kolej C
8 XII 2012



*selepas sekian lama tidak berpuisi, izinkan saya.