1 Feb 2012

Akhir

Ini kisah yang tak pernah terkubur.
Di hujung laluan ke pusara terindah,
pernah ada kasih sunyi melanjur.
Tidak terbalas dan tidak terpisah.

Dalam setiap kenangan si dia
bersama kenangan si pergi,
bersatu ribuan tangan memautnya
menghulur salam terakhir sekian kali.

Tidak terbayar wajah dan harga,
si dia dan si pergi.
Tidak terbayar kasih dan cinta,
si dia dan si pergi.

Biarlah dia terbang seketika.
Biar Tuhan menyambut rohnya.
Suratkan Al-Fatihah buat jiwanya,
agar tutup matanya itu,
adalah mutiara terindah
untuk kasih al-Baqi.


*buat Fatin Farhana dan keluarga beliau.
Takziah. Moga roh arwah dirahmati Allah.



Fatahul Nizam
1 II 2012
Tun Perak

29 Jan 2012

Mata

Ku renung matamu, hitam segala.
Namun khilafku, merenungku semula.


Fatahul Nizam
29 I 2012
Twitter

26 Jan 2012

Cara Anarki

punk tak makan sampah.
punk tak perlu makan sampah.
punk buat sampah.

dan sampah itu dipaksa sumbat
dalam mulut kapitalis terlakhnat.

kerana itu punk sejati.
tak peduli kata pertiwi.
hati mereka (barangkali) suci.
kerana mereka selamanya anarki.

23 Jan 2012

Romantik (V)

Atau kau benci padaku,
hingga seluruh jasadku kaku di matamu.
Dalam diam apa yang berlaku,
adalah ribut bisu menghentam kalbu.

Bencilah aku sementara nafas itu masih setia.
Lupakanlah aku selagi daun itu masih di rantingnya.
Abaikanlah aku sebelum maut memanggil tanpa suara.


Dan kelak kau akan cintakan kakiku.
Kerana dengan kaki ini, aku mengejarmu.



Fatahul Nizam
23 I 2012
Bilik

13 Jan 2012

Tiada Hujung

Pada sisi lain diriku yang takkan kau tahu,
adalah sisi gelap yang ku takkan dedah.

Rasa putus asa itu,
adalah keraguanku mencintaimu,
adalah segala taruhan buatmu,
tiada hujung.

Terlalu jujur untuk kau berkata
kerana segala impian terharga,
masih lena dalam angan sementara.

Namun
tak ku serahkanmu,
tak ku rebahkanmu.
tak ku lelahkanmu,
Jika saat itu,
benar ada untuk kita
berdua.



Fatahul Nizam
13 I 2012
Tun Perak